Harapan penerima BRIM terhadap BSH 2019

Umum mengetahui bahawa Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) yang dahulunya dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia masih lagi akan diteruskan oleh pihak kerajaan pada tahun 2019. Setiap kali permohonan baru dibuka, akan ada yang berjaya dan akan ada yang gagal untuk mendapat BSH ini. Lalu, bagi mereka yang tidak berjaya, mereka akan membuat rayuan dan mengharap supaya rayuan mereka diluluskan.

Namun begitu, tidak dapat disangkal lagi bahawa proses permohonan atau rayuan yang dibuat oleh rakyat ini kadangkala mengambil masa yang terlampau panjang sedangkan mereka sudah menghantar segala dokumen yang diperlukan sewaktu proses permohonan atau rayuan.
Jika benarlah pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi lain yang terlibat perlukan masa yang panjang untuk membuat proses verifikasi mengikut turutan bagi siapa yang menghantar permohonan atau rayuan mereka dahulu, jadi mengapa timbulnya isu pemohon yang lambat menghantar permohonan boleh mendapat dahulu wang BSH sedangkan ada lagi pemohon yang menghantar lebih awal tetapi masih tidak menerima lagi wang BSH mereka. Isu yang timbul ini menyebabkan ramai orang berasa tidak puas hati dan mahukan penjelasan daripada pihak yang berkenaan.

Selain itu, terdapat juga keluhan daripada penerima sedia ada bahawa status kemaskini maklumat mereka masih lagi tidak berubah sedangkan mereka telah membuat kemaskini seperti yang telah diberitahu melalui pengumuman BR1M sebelum ini. Ada antara mereka yang telah menghubungi pihak LHDN untuk mengetahui apa yang telah terjadi dan usaha mereka ini kadangkala berhasil dan kadangkala tidak kerana nombor telefon yang dihubungi tidak berjawab ataupun emel yang dihantar kepada pihak yang berkenaan mengambil masa sebelum dibalas semula.

Walaubagaimanapun, keluhan-keluhan tersebut hanya diluahkan oleh sebilangan kecil sahaja daripada penerima BSH. Masih terdapat ramai lagi penerima lain yang bersyukur dan bersabar menunggu sehingga bantuan BSH diterima kerana mereka percaya bahawa pihak kerajaan dan institusi yang terlibat juga sedang bertungkus-lumus berkerja bagi memastikan kesemua penerima BSH yang layak akan dapat menerima bantuan tersebut mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, sebagai salah seorang daripada pemohon atau penerima BSH kita seharusnya berterima kasih kepada pihak LHDN kerana mereka telah menyediakan pelbagai platform seperti nombor telefon, emel dan laman web rasmi bagi memudahkan pemohon atau penerima BSH yang menghadapi masalah untuk mengetahui punca permasalahan dan membantu menyelesaikan masalah tersebut. Jika kesemua pilihan di atas tidak berjaya dihubungi, pemohon atau penerima bolehlah terus pergi ke pejabat LHDN yang berhampiran untuk berjumpa dengan pegawai yang bertugas.

Untuk membuat semakan status permohonan pula, pemohon boleh menyemak melalui beberapa cara sama ada melalui laman web rasmi atau melalui aplikasi telefon bimbit yang boleh dimuat turun di Google Play Store. Ada kalanya sewaktu pemohon ingin mengakses laman web rasmi tersebut, mereka perlu menunggu masa yang lama sebelum paparan keputusan permohonan mereka dapat dilihat. Hal ini disebabkan oleh ramai pemohon yang sedang mengakses laman web tersebut pada waktu yang sama. Sekiranya pemohon tidak mahu menunggu lama, mereka boleh membuat semakan keputusan pada waktu selain waktu puncak.

Manakala bagi mereka yang pernah menggunakan aplikasi telefon bimbit Semakan Bantuan Sara Hidup Rakyat pula, sesetengah pengguna menghadapi masalah apabila aplikasi tersebut ‘crash’ atau sekiranya berjaya diakses mereka mendapati bahawa status kemaskini mereka masih lagi tiada perubahan sedangkan mereka sudah mengemaskini maklumat sebelum itu lagi. Oleh itu, disarankan kepada pihak yang bertanggungjawab supaya sentiasa memastikan bahawa tiada sebarang keciciran maklumat berlaku dan sentiasa kerap melakukan proses kemaskini bagi memastikan kesemua maklumat penerima BSH adalah yang terkini.

Sebagai kesimpulan, sebagai seorang rakyat yang layak menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat di bawah naungan kerajaan ini, kita seharusnya mendidik diri untuk bersyukur dengan adanya bantuan sebegini. Walaupun terdapat lompong dan kesilapan dari segi pelaksanaannya, namun masih ada lagi ruang untuk penambahbaikan supaya tidak berlaku lagi masalah sebegini pada masa akan datang. Sebagai ganti, apa kata kita sebagai rakyat yang prihatin memberikan cadangan atau idea yang bernas kepada pihak LHDN. Ini akan lebih membantu melancarkan lagi proses pemberian BSH kepada para penerima.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*