Luahan penerima BSH 2019 mengenai kaedah pembayaran

Seringkali kita mendengar atau membaca keluhan beberapa individu sama ada secara terus mahupun melalui media sosial bahawa pemberian Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) selalunya lewat dikreditkan ke dalam akaun simpanan mereka. Tidak kurang juga kepada penerima BSH yang tinggal di kampung ataupun kawasan pedalaman yang berasa kecewa apabila mendapat tahu wang BSH mereka masih lagi belum diterima sedangkan mereka sangatlah memerlukan wang tersebut untuk perbelanjaan keperluan mereka.

Walaupun bilangan mereka yang lewat menerima BSH ini hanya sebilangan kecil sahaja daripada jumlah keseluruhan penerima, namun begitu kita tidak dapat nafikan bahawa sebilangan kecil ini juga amat memerlukan wang tersebut untuk perbelanjaan rumah atau keperluan anak-anak mereka. Mungkin ada antara mereka yang benar-benar hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Pemberian BSH secara berperingkat

Pihak Kerajaan telah menetapkan bahawa pemberian BSH kepada penerima di bawah kategori 2 dan 3 akan menerima wang BSH secara berperingkat iaitu sebanyak tiga kali setahun. Manakala bagi kategori 1, mereka akan mendapat wang RM450 secara sekaligus. Jika dilihat dari satu sudut, pemberian BSH secara berperingkat bagi penerima di bawah kategori 2 dan 3 ini sebenarnya dapat mengelakkan penerima daripada menghabiskan wang tersebut pada waktu yang sama juga sekiranya wang tersebut diberikan secara sekaligus.

Namun, jika kita lihat dari sudut yang lain, sebenarnya pemberian yang dibuat secara berperingkat ini juga menyebabkan kesusahan kepada penerima. Hal ini dapat dilihat di dalam situasi di mana kelewatan pemberian wang BSH akan menyebabkan penerima mengalami kesusahan untuk membeli barang keperluan harian atau keperluan persekolahan anak-anak mereka.
Mungkin ada antara kita ini yang terfikir bahawa isu pemberian BSH yang lewat ini bukanlah isu yang besar. Akan tetapi, bagi penerima yang benar-benar dalam kesusahan, bantuan ini sangatlah penting kepada mereka kerana pendapatan mereka yang sedia ada tidak mencukupi untuk menanggung semua keperluan bagi isi rumah mereka. Mereka ini benar-benar berharap supaya BSH diterima secepat yang mungkin bagi membantu menampung perbelanjaan yang tidak mencukupi.

Cadangan bagi pemberian BSH tahun hadapan

Justeru, pihak kerajaan dicadangkan supaya dapat menjadikan pembayaran BSH kepada penerima bagi kategori 2 dan 3 dibuat secara sekaligus. Antara sebab mengapa pembayaran secara sekaligus ini lebih baik daripada pembayaran secara berperingkat termasuklah memudahkan penerima untuk menggunakan wang BSH bagi keperluan rumah atau anak-anak tanpa perlu menunggu tarikh pembayaran akan datang.

Selain itu, penerima BSH yang menerima bantuan dalam bentuk baucer juga tidak perlu lagi bersusah payah pergi ke bank berkali-kali semata-mata untuk menunaikan baucer mereka. Kadangkala mereka ini terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk perbelanjaan pengangkutan pergi ke cawangan bank yang terdekat jika ingin menunaikan baucer mereka. Kepada mereka yang hidup susah dan berpendapatan rendah, ini merupakan satu bebanan yang besar kerana duit mereka akan habis begitu sahaja hanya pada perbelanjaan perjalanan.

Seandainya dilihat bahawa pemberian BSH secara sekaligus ini akan lebih mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan, mungkin pihak kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membuat pemberian BSH secara dua kali setahun. Dengan ini, penerima BSH akan menerima manfaat tersebut tanpa perlu menunggu dalam masa yang lama sekaligus dapat mengurangkan beban kerja institusi yang terlibat dalam memastikan supaya BSH ini dapat diberikan kepada penerima pada waktunya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*