Mekanisme Pelaksanaan Bagi Bantuan Sara Hidup Rakyat

Umum telah mengetahui bahawa sejak perubahan pentadbiran Malaysia yang sudah 60 tahun dinaungi oleh parti Barisan Nasional bertukar kepada Pakatan Harapan, pelbagai inisiatif kerajaan lama yang dikaji semula antaranya Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang kini bertukar nama kepada Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH). Meskipun dasar-dasar kerajaan lama dikaji semula, sehingga hari ini masih tiada perubahan drastik yang dilakukan oleh Malaysia Baru dalam isu bantuan kewangan khas kepada rakyat. Artikel ini akan membahaskan mekanisme pelaksanaan bagi dasar kerajaan berkaitan bantuan kewangan kepada rakyat serta cadangan mekanisme pelaksanaan yang baru. Bagi memudahkan kefahaman pembaca terhadap artikel ini, dasar bantuan rakyat yang lama akan disebut sebagai BR1M manakala cadangan pelaksanaan baru dasar ini akan disebut sebagai BSH.

Asas pelaksanaan BR1M sebelum ini adalah dengan meletakkan beberapa syarat kelayakkan bagi memohon BR1M dan pemohon BR1M ini depecahkan kepada beberapa kategori. Pertama, individu bujang yang mempunyai pendapatan bawah RM 2000 yang mula diperkenalkwn pada tahun 2013. Kedua, keluarga yang berpendapatan RM3000 ke bawah. Ketiga, keluarga yang berpendapatan antara RM3000 hingga RM 4000. Kategori yang terakhir baru diperkenalkan pada tahun 2016 iaitu keluarga yang berpendapatan RM1000 ke bawah. Kategori ini telah diserap masuk daripada program e-Kasih. Setiap kategori penerima bantuan BR1M masing masing menerima bantuan sejumlah RM400, RM1000, RM800 dan RM1050 (jumlah bantuan ini diambil bagi tahun 2016).

BR1M merupakan satu bentuk jaminan sosial yang berhala tujukan kepada meringankan beban dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Sejajar dengan objektif ini, pemberian BR1M perlulah disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya berdasarkan pemilihan yang lebih mendalam berbanding hanya melihat kepada pendapatan keluarga sahaja. Masalah yang berlaku apabila keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang ramai sehingga menyebabkan peningkatan kos sara diri bagi keluarga tersebut, namun disebabkan pendapatan keluarga melebihi RM4000, akhirnya mereka tidak termasuk dalam golongan yang layak mendapat BR1M. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada 3 orang sahaja, suami isteri dan seorang anak, memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM2500, dibandingkan pula dengan sebuah keluarga yang terdiri daripada 7 orang, suami isteri serta 5 orang anak, dan mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM5000. Berdasarkan kategori yang dinyatakan dalam mekanisme pelaksanaan BR1M, keluarga pertama layak mendapat BR1M manakala keluarga kedua tidak layak mendapat BR1M, sedangkan secara teorinya, keluarga kedua terpaksa menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding keluarga pertama. Sepatutnya keluarga kedua yang lebih layak menerima bantuan BR1M. Kesimpulan yang boleh diambil daripada skop perbahasan ini adalah mekanisme pelaksanaan BR1M sedia ada terlalu dangkal sehingga menyebabkan terdapat pihak-pihak yang lebih layak mendapat bantuan ini namun hak mereka dinafikan begitu sahaja yang akhirnya menunjukkan hasrat murni kerajaan sebelum inibagi meringankan beban rakyat tidak tercapai sepenuhnya.

Masalah kedua yang berlaku apabila keinginan kerajaan sebelum ini yang ingin meningkatkan taraf hidup rakyat tidak tercapai. Hal ini kerana bantuan bersasar yang diberikan ini bukanlah digunakan untuk meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga namun bantuan ini digunakan sekadar menampung keperluan dan liabiliti mereka. Satu kaji selidik yang dijalankan kepada orang awam oleh KAJIDATARESEARCH menunjukkan bahawa 80% rakyat yang menerima BR1M telah membelanjakan duit mereka untuk membeli keperluan asas, menampung perbelanjaan harian serta membeli barangan peribadi dan keluarga. Hanya 2% daripada penerima BR1M menjadikannya sebagai modal perniagaan. Tindakan ini seperti memberi ikan kepada rakyat, namun tidak diajar cara memdapatkan ikan, akhirnya, rakyat terpaksa terus berharap dan menanti kerajaan memberikan ikan kepada mereka. Sebagai kerajaan yang prihatin, rakyat sepatutnya diberikan joran atau jala, diajarkan mereka menangkap ikan atau lebih baik menternak ikan. Masalah ini yang menjadi benteng bagi mencapai tujuan sebenar pelaksanaan BR1M.

Antara mekanisma cadangan bagi pelaksanaan Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH), pertama sekali kajian semula terhadap golongan yang layak mendapat bantuan ini dengan cara melihat semula pendapatan keluarga dan mengaitkanya dengan tanggungan dalam keluarga iaitu suami, isteri dan anak-anak (anak-anak mesti berumur bawah 21 tahun). Sebagai contoh, bagi keluarga yang mempunyai pendapatan RM4000 sebulan, keluarga A terpaksa menanggung 4 orang manakala keluarga B terpaksa menanggung 8 orang. Jika dibahagikan pendapatan ini kepada ahli dalam keluarga, setiap seorang bagi keluarga A memperoleh RM1000 setiap seorang manakala bagi keluarga B mendapat RM500 setiap seorang. Maka kerajaan boleh mengeluarkan dasar bahawa pendapatan per ahli dalam keluarga hendaklah mencapai nilai tertentu (contoh RM500). Berdasarkan kes di atas, keluarga A tidak layak mendapat bantuan manakala keluarga B layak mendapat bantuan. Kaedah pengiraan yang lain juga boleh dilakukan seperti menilai secara kasar amaun sara hidup bagi setiap ahli keluarga. Contoh ringkas seperti menganggarkan setiap ahli keluarga menghabiskan RM300 sebulan. Jika pendapatan keluarga adalah RM4000; keluarga A mempunyai 5 orang ahli manakala keluarga B mempounyai 10 orang ahli. Maka, keluarga A menghabiskan RM1500 bagi sara hidup selama sebulan menghasilkan baki sebanyak RM2500. Keluarga B pula memerlukan RM3000 bagi menyara hidup selama sebulan menghasilkan baki sebanyak RM1000.

Kerajaan pula bertanggungjawab meletakkan kayu ukur baru bagi membolehkan rakyat benar-benar berhak mendapat bantuan. Andai kata bagi kes sebentar tadi, kerajaan meletakkan RM2000 sebagai kayu ukur, maka keluarga A tidak layak menerima BSH sebaliknya keluarga B layak menerimanya. Sudah tentu ini hanyalah lakaran kasar bagi kaedah pengiraan yang sebenar yang boleh dikaji semula oleh pakar ekonomi.

Mekanisma cadangan bagi masalah kedua lebih mudah, kerajaan tidak perlu menukarkan wang tersebut kepada bentuk baucer, bantuan asas atau sebagainya. Jalan mudah bagi mengatasi masalah ini dengan mengikat pemberian bantuan ini dengan program-program perancangan kewangan atau program keusahawanan. Kerajaan tidak perlu menyekat hak rakyat untuk bebas menggunakan bantuan kewangan tersebut, cukuplah sekadar menunjukkan alternatif yang ada bagi menggalirkan bantuan tersebut. Jika rakyat tetap dengan cara mereka, kerajaan tidak perlu berbuat apa kerana itu hak mereka untuk kekal di tampuk yang sama. Ibarat memberi jala kepada nelayan, namun nelayan lebih suka “memancing” ikan di pasar.

Pembawaan daripada artikel ini bertujuan memandu BSH supaya disalurkan kepada jalan yang boleh tiba kepada matlamat pelaksanaanya iaitu meringankan beban dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Artikel ini hanya menerangkan garis panduan kasar yang mungkin boleh dijadikan sebagai batu asas kepada pelaksanaan dasar yang lebih berkesan, mencapai matlamat dan memguntungkan rakyat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*